KUALA LUMPUR 15 Nov. – Edotco Malaysia Sdn. Bhd. dan Melaka ICT Holdings Sdn. Bhd. (MICTH) bekerjasama untuk melancarkan infrastruktur telekomunikasi canggih di Melaka.
Ketua Pegawai Serantau edotco, Wan Zainal Adileen berkata, kerjasama ini akan membolehkan kumpulan dan MICTH menaik taraf infrastruktur telekomunikasi di negeri itu.
Katanya, setakat ini, sebanyak 14 tapak dalam kawasan Bandar Melaka telah dikenal pasti untuk pelaksanaan yang akan meningkatkan perkhidmatan dan kualiti jalur lebar tanpa wayar di rantau ini.
“Kami amat berbesar hati kerana mendapat kepercayaan daripada MICTH untuk membangunkan pelbagai jenis infrastruktur telekomunikasi bertaraf dunia bagi negeri yang bersejarah ini.
“Hubungan ini akan membolehkan kami untuk berkongsi kepakaran dan memainkan peranan dalam pembangunan Melaka, terutamanya ke arah kesediaan 5G,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Edotco Malaysia adalah pemegang lesen NFPi sejak 2012 dan pada masa ini mengendalikan dan menguruskan portfolio lebih 9,000 menara di seluruh Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MICTH, Zulkiply Harun berkata, pihaknya menyedari kejayaan edotco Malaysia dalam melaksanakan infrastruktur perkongsian yang betul di dalam negara.
Jelasnya, pengetahuan edotco Malaysia yang luas dalam industri infrastruktur telekomunikasi melengkapi pengkhususan kumpulan dalam perkhidmatan gentian optik dan akan memberi manfaat kepada rakyat Melaka.
“Kerjasama ini membolehkan pemasangan penyelesaian inovatif yang pantas untuk membantu pengendali rangkaian mudah alih (MNO) memenuhi permintaan selular dan perkhidmatan jalur lebar pelanggan di negeri ini.
“Ia mencerminkan aspirasi dan usaha kerajaan negeri Melaka untuk meningkatkan kualiti hidup dan memupuk bakat yang kompetitif melalui peningkatan akses kepada teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang berkualiti,” katanya.











