KUALA LUMPUR 17 Nov.- Trend anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) memilih untuk bersara awal berada pada tahap membimbangkan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, trend persaraan awal itu dikesan meningkat sejak lima tahun kebelakangan ini.
Ujar beliau, tekanan kerja yang mencabar punca utama mereka meninggalkan dunia kepolisan.
“Hasil maklumat yang saya peroleh sendiri, ramai pegawai memohon bersara awal kerana masalah keluarga, kesihatan sendiri dan isu-isu logistik.
“Kita akan melihat permasalahan ini dan kita jangkakan akan mengambil lebih 7,000 pegawai-pegawai baharu bermula tahun depan bagi mengisi kekosongan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan upacara perbarisan dan penyampaian tamat kursus asas Kadet Inspektor dan Kadet Sarjan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










