Tekanan kerja punca bersara awal - Utusan Malaysia

Tekanan kerja punca bersara awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Nov. – Kira-kira 3,000 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) memilih untuk menamatkan perkhidmatan awal tahun ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, trend itu dikesan meningkat sejak lima tahun kebelakangan ini.

Ujar beliau, tekanan kerja yang mencabar punca utama mereka meninggalkan dunia kepolisan ini selain terdapat anggota menghadapi masalah kesihatan, keluarga dan isu-isu berkaitan logistik.

“Sepanjang tahun ini sahaja, sebanyak 2,446 anggota dan pegawai memilih untuk bersara awal.

“Perkara ini amat membimbangkan kerana angka tersebut boleh menjangkau lebih 5,000 orang yang meninggalkan pasukan ini termasuk mereka bersara wajib,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Upacara Perbarisan dan Penyampaian Tamat Kursus Asas Kadet Inspektor dan Kadet Sarjan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, seba­nyak 394 pelatih berjaya menamatkan Kursus Asas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Siri 1/2018 dengan 248 daripadanya Kadet Inspektor dan selebihnya Kadet Sarjan.

Mohamad Fuzi memberitahu, berikutan kekosongan tersebut pihaknya akan membuka 7,000 pengambilan baharu tahun hadapan bagi mengisi jawatan itu.

“Kita akan melihat permasalahan ini, kerana apabila berlaku trend bersara lebih awal, kita kena latih anggota baharu dan pastinya akan memakan masa bagi menge­tahui selok-belok dalam bidang tugas mereka.

“Tambahan pula, kebanyakkan mereka memilih bersara awal adalah dalam kalangan anggota dan pegawai dengan mempunyai pe­­­ngalaman kerja yang lama,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN