SEREMBAN 28 Nov. – Graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diingatkan supaya menanam aspek integriti dan amanah dalam setiap pekerjaan yang dilakukan mereka.
Pro-Canselor USIM, Tun Zaki Azmi berkata, ini kerana menjaga amanah sangat penting dalam memastikan kerukunan dalam sesebuah organisasi dan negara.
Beliau berkata, umat Islam mampu memperoleh keberkatan dalam hidup dengan menjadikan nilai-nilai murni sebagai amalan harian di samping mengelakkan perbuatan negatif seperti rasuah, salah guna kuasa dan pembaziran.
Tambahnya, mereka juga perlu mengelak daripada sikap hasad dengki yang memudaratkan diri dan masyarakat serta sentiasa bersyukur atas nikmat yang Allah SWT kurniakan.
“Dalam majlis yang mulia ini, saya berharap graduan USIM jangan cepat berpuas hati dengan pencapaian akademik yang ada sekarang. Jika ada peluang, teruskan melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD).
“Bagi yang memilih kerjaya seperti dalam bidang keusahawanan, saya berharap agar anda semua dapat mencari rezeki yang halal,” ketika berucap dalam Majlis Konvokesyen USIM Ke-16 di Nilai, dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad.
Seramai 1,268 graduan menerima ijazah sarjana muda masing-masing dalam majlis konvokesyen yang bertemakan Pembangunan Lestari.
Dalam ucapannya itu, Zaki turut menggesa umat Islam supaya belajar daripada sejarah kejatuhan banyak negara bangsa dan tamadun dunia kerana alpa dengan kuasa duniawi.
Jelasnya, amat malang bagi negara Islam yang kaya dengan sumber alam namun tidak dapat dinikmati dan digunakan untuk kesejahteraan ummah.










