Taman Ilmu tak akan jadi projek gajah putih - Utusan Malaysia

Taman Ilmu tak akan jadi projek gajah putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 29 Nov. – Projek Taman Ilmu di Tembila, Besut tidak akan dijadikan projek gajah putih walaupun kos membangunkan semula pusat kecemerlangan ilmu bertaraf antarabangsa itu memerlukan pelaburan mencecah RM400 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, sebaliknya kerajaan negeri akan berusaha melakukan kajian untuk membangunkan projek yang dimulakan 14 tahun lalu itu dengan mengambil kira kemampuan kewangan dan perkembangan semasa.

“Sebagaimana sedia maklum ada kes mahkamah melibatkan tuntutan terhadap kerajaan negeri sebelum ini yang terpaksa membayar kepada Syarikat POSC Ti Sdn. Bhd. sebanyak RM45 juta.

“Saya juga difahamkan akan ada enam lagi syarikat menunggu hendak menyaman kerajaan negeri, bagaimanapun kita tidak boleh mengulas lanjut kerana melibatkan mahkamah,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan Ridzuan Hashim (Pas-Buluh Gading) yang diwakili Hishamuddin Abdul Karim (Pas-Tepoh) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14, di sini hari ini.

Kerajaan Pas sebelum ini memberi jaminan akan meneruskan pembangunan Taman Ilmu agar matlamat asal ke arah kewujudan hab pendidikan tinggi di negeri ini menjadi kenyataan kelak.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun projek digerakkan oleh kerajaan dokongan parti politik berbeza dan berdepan dengan masalah, kerajaan Pas tidak akan mengambil pendirian untuk terus menghentikannya sebaliknya akan dipulihkan secara berperingkat.

Dalam perkembangan sama, Satiful Bahri memberitahu, setakat ini tiada permohonan baharu daripada mana-mana universiti untuk beroperasi di Taman Ilmu diterima termasuk di samping belum ada kerja-kerja naik taraf bangunan dijalankan Akademi Seni Budaya Warisan Kebangsaan (Aswara) yang akan menggunakan sembilan blok bangunan di Taman Ilmu.

Katanya, hanya Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang memasuki kawasan yang terbiar sekian lama itu dengan mengguna pakai dua bolk bangunan asrama empat tingkat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN