JOHOR BAHRU 28 Nov. – Bila berbicara tentang coklat murah, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran ialah Pulau Langkawi, iaitu destinasi pelancongan terkenal dan merupakan zon bebas cukai.
Bagi penggemar coklat di selatan tanah air, pastinya berkira-kira untuk ke sana semata-mata bagi mendapatkan coklat pada harga yang murah, namun kini boleh sahaja berkunjung ke kedai Coklat Murah JB yang terletak di No.2 Jalan Bakti, Kawasan Perindustrian Larkin bagi menikmati pelbagai coklat jenama antarabangsa.
Beroperasi sejak Oktober tahun lalu, Coklat Murah JB menawarkan 2,800 jenis coklat daripada lebih 20 jenama diimport dari 18 negara yang dijual pada harga lebih murah .
Menurut pemilik premis, Hashif Razak, sambutan yang diterima pihaknya cukup memberangsangkan, iaitu kira-kira 15 buah bas dari seluruh negara pada setiap minggu.
“Jualan produk berasaskan coklat ini bermusim. Kebiasaan pada hujung tahun dan musim cuti sekolah kami menerima jumlah pengunjung yang tinggi dan mampu menjual bekalan sampai habis dua kontena.
“Selain menjual produk di kedai, kami turut membekalkan coklat kepada pengedar lain, kedai makanan ringan serta ke hotel untuk dijadikan bahan masakan,” katanya baru-baru ini.
Turut hadir Pengurus Coklat Murah, Azrizam Abdullah.
Hashif yang pernah bekerja sebagai jurutera di Singapura menganggap keputusannya berhenti kerja untuk membuka perniagaan menjual coklat bermula secara kecil-kecilan di rumah pada Jun 2016 sebagai tepat walaupun pada mulanya berat untuk meninggalkan pekerjaan yang menawarkan gaji RM6,000 sebulan.
“Perniagaan yang diasaskan bersama-sama isteri ini bermula dengan menerima tempahan dalam Facebook dan penghantaran ke rumah. Apabila sudah mendapat sambutan, barulah kami buka stor kecil untuk menyimpan stok dan membuka kedai di hadapan rumah.
“Setelah hampir dua tahun berniaga di rumah, keadaan bertukar menjadi sesak di kawasan perumahan itu sehingga kami membuat keputusan berpindah ke lokasi baharu bagi memperbesarkan operasi ekoran mendapat permintaan yang tinggi,” katanya sambil mengakui pada awalnya mengalami kesukaran untuk mendapat kepercayaan pembekal.
Selain kedai coklat, Hashif juga menguruskan kafe, Jingga Lepakafe bersebelahan premis itu dengan menyediakan 80 jenis makanan seperti masakan panas, makanan barat, pencuci mulut dan aneka kopi.
“Konsep kami bukan sekadar mengejar keuntungan, tetapi lebih mementingkan kepuasan pelanggan. Gimik nama ‘murah’ itu adalah strategi jualan yang diperkuatkan dengan hebahan dalam media sosial,” katanya yang mempunyai 16 staf termasuk 12 pekerja kafe.











