Syarikat China labur RM1.2 bilion bina kilang kertas di Kulim - Utusan Malaysia

Syarikat China labur RM1.2 bilion bina kilang kertas di Kulim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 29 Nov. – Syarikat dari China, Zhejiang XSD Holding Co. Ltd (Zhejiang XSD) melabur sebanyak RM1.2 bilion untuk fasa pertama bagi pembinaan kilang kertas mesra alam yang bakal dibina di Padang Meha, Kulim menjelang 2020.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pembinaan kilang yang menggunakan sumber daripada bahan buangan dan kitar semula itu akan menyediakan kira-kira 1,300 peluang pekerjaan selain meningkatkan kapasiti pengeluaran kertas untuk pasaran antarabangsa.

Jelasnya, kerajaan negeri menerusi Pusat Pelaburan Kedah (Invest Kedah) akan menyediakan sokongan kepada Zhejiang XSD meliputi aspek pembangunan kilang melibatkan kawasan seluas 121.4 hektar milik Sime Darby Property Berhad.

“Pelaburan asing ini sangat signifikan bagi Kedah kerana ia memacu pembangunan serta memberi kesan positif yang merangkumi tiga fasa membabitkan jumlah pelaburan sebanyak RM3.6 bilion keseluruhannya bagi tempoh lima tahun.

“Selain itu, ia memberikan impak perkembangan pelbagai industri termasuk industri hiliran di kawasan tersebut dengan perkongsian teknologi canggih yang dimiliki China,” katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Invest Kedah dan Zhejiang XSD di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Mukhriz menyaksikan pemeteraian MoU antara Pengurus Besar Kanan invest Kedah Zafir Anuar Ghazali dengan Presiden Zhejiang XSD, Shenfeng Lee.

Mukhriz turut menyaksikan perjanjian pembelian dan jualan tanah 121.4 hektar yang ditandatangani oleh Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Seri Amrin Awaluddin dan Shenfeng.

Dalam perkembangan sama, Shenfeng berkata, kilang pemproses kertas kitar semula itu dijangkan akan mula beroperasi pertengahan 2020 sekiranya proses kelulusan pembangunan serta pembinaan berjalan lancar.

Tambahnya, keseluruhan pelaburan tersebut akan menyumbang kepada pengeluaran tahunan RM 1.8b bilion dan menjana RM1.5 billion menerusi eksport pelbagai produk.
 
“Dalam pembangunan fasa pertama, kita akan bawakan kepakaran kejuruteraan dan teknologi akan dibawa dari China manakala bagi fasa kedua, kami akan  membangunkan kepakaran tempatan dalam pembuatan kertas.

“Bagi fasa seterusnya, kita akan mengadakan kerjasama dengan universiti tempatan bagi mempertingkatkan teknologi pembuatan kertas di negara ini,”jelasnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN