PUTRAJAYA 15 Nov. – Orang ramai berpeluang untuk memenangi sebuah telefon pintar jenama Huawei P20 dengan menghantar gambar swafoto terbaik dalam program 1Milion #crazyonrecycle.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, program tersebut yang berlangsung bermula hari ini sehingga 20 November ini bertujuan menyokong aktiviti kitar semula sisa pepejal.
“Orang ramai boleh memuat naik gambar swafoto atau swafoto bersama ketika menjual atau menghantar barangan kitar semula ke Pusat Kitar Semula yang berdekatan ke media sosial seperti Facebook, instagram dan twitter dengan meletakkan tanda pagar #crazyonrecycle.
“Kemudian mereka perlu mendaftar penyertaan di www.swcorp.my/cor dan pemilihan gambar terbaik akan dilakukan selepas tamatnya program tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan program 1Milion #crazyonrecycle dan promosi Hari Kitar Semula Kebangsaan (HKSK) di sini hari ini.
Beliau berkata, program tersebut merupakan simbolik ke arah acara kemuncak sambutan HKSK yang akan diadakan di Pantai Eco Park, Kuala Lumpur pada 1 Disember ini.-UTUSAN ONLINE










