KUALA LUMPUR 19 Nov. – Suspek yang memandu kenderaan pacuan empat roda dengan merempuh pelanggan ketika menjamu selera di sebuah restoran berdekatan parkir kereta di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan dekat sini ditahan awal pagi tadi.
Suspek ditahan pukul 1.43 pagi oleh sepasukan anggota polis susulan penemuan kenderaannya yang ditinggalkan tepi jalan di Taman Universiti Indah dekat sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, suspek yang berasal dari Sarawak itu ditahan bagi membantu siasatan kes terbabit.

“Ujian air kencing telah dilakukan terhadap suspek dan didapati negatif dadah.
“Sampel darah juga diambil untuk ujian alkohol, “katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ismadi, permohonan reman akan dilakukan di Mahkamah Petaling Jaya pada pukul 10 pagi ini bagi melakukan siasatan lanjut.
Terdahulu dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam semalam, seorang wanita berusia 57 tahun maut manakala empat lagi cedera akibat dirempuh kenderaan jenis Isuzu Dmax. – UTUSAN ONLINE










