Suspek mengaku lakukan penderaan fizikal dan seksual pada Zara, penjara 20 tahun, 12 sebatan - Utusan Malaysia

Suspek mengaku lakukan penderaan fizikal dan seksual pada Zara, penjara 20 tahun, 12 sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG – Seorang tukang gunting rambut yang sebelum ini didakwa atas pertuduhan membunuh bayi Nur Muarzara Ulfa Muhammad Zainal atau Zara, dihukum penjara 20 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan penderaan fizikal dan seksual terhadap kanak-kanak itu. 

Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap Hazmi Majid, 36, yang merupakan suami kepada pengasuh bayi berkenaan selepas bapa tiga anak itu mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa telah memasukkan jari ke dalam kemaluan dan dubur mangsa di sebuah rumah di Apartment Sri Cempaka, Jalan 6/3, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi di sini antara pukul 10.30 pagi hingga pukul 1.30 petang pada, 7 November lalu.
 
Berikutan itu, kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria yang mewakili pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman yang berat kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius.

‘’Mangsa dalam kes ini baru berusia 11 bulan dan masih bayi serta tidak berdaya. Sebagai suami kepada pengasuh, sepatutnya tertuduh perlu sama-sama menjaga mangsa dan bukannya mengambil kesempatan,’’ kata Siti Noor Hafizan.

Bagaimanapun Hazmi yang tidak diwakili peguam pula merayu hukuman ringan atas alasan hanya dia seorang bekerja sahaja dan perlu menanggung isteri dan tiga anak.

Dalam prosiding itu turut hadir ialah Pegawai Penyiasat Kes Asisten Superitendan Mohd. Radzee Jamudi.

Kosmo! 24 November lalu melaporkan Hazmi didakwa membunuh Zara pada tempat, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kosmo! baru-baru ini melaporkan Zara disahkan meninggal dunia selepas dua hari dilaporkan tenat sebaik dirujuk ke Hospital Serdang pada 7 November lalu.

Pemeriksaan pihak hospital mendapati terdapat kesan koyakan baharu pada tisu kemaluan dan dubur mangsa.

Laporan bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan kesan objek tumpul pada bahagian kepala dengan tempurung kepala bayi terbabit pecah selain kesan lebam pada bahagian atas kepala mangsa.

Selain itu, terdapat juga kesan penderaan seksual terhadap Zara yang merupakan anak kepada pekerja kilang.

Ujian saringan air kencing dilakukan terhadap tertuduh didapati lelaki itu positif mengambil dadah syabu. 

Ibu Zara iaitu Noraihan Ab. Aziz dikatakan mengenali pengasuhnya menerusi laman sosial Facebook pada 21 September lalu. 

Sebelum ini Zara dan abangnya yang berusia lima tahun dijaga ibunya tetapi kemudian kedua-dua beradik itu terpaksa dihantar kepada pengasuh selepas wanita terbabit mendapat kerja di sebuah kilang di Bangi. 

Kedua-dua beradik itu dijaga pengasuh itu dengan bayaran RM550 bagi setiap seorang dari pukul 7 pagi hingga pukul 7 malam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN