JOHANNESBURG 18 Nov. – JUARA tiga kali, Nigeria yang gagal ke pusingan akhir dalam dua edisi terakhir Piala Negara-Negara Afrika antara negara pertama melayakkan diri ke Cameroon 2019 selepas seri 1-1 dengan Afrika Selatan, hari ini.
Nigeria yang terkenal dengan julukan Super Eagles mendahului saingan seawal minit kesembilan menerusi gol sendiri Buhle Mkhwanazi.
Tuan rumah bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi Lebo Mothiba pada minit ke-24.
Keputusan seri sudah cukup meletakkan Nigeria di tangga teratas Kumpulan E dengan 10 mata, satu mata mengatasi Afrika Selatan.
“Seri bagaikan menang, apatah lagi kami beraksi di bawah suhu panas (32 darjah Celsius) selain kurang tidur kerana perjalanan jauh,” kata jurulatih Nigeria, Gernot Rohr.
Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari antara individu yang paling gembira selepas menyaksikan kejayaan Super Eagles mara ke pusingan akhir.
“Presiden bersama jutaan peminat Nigeria menghambur pujian kepada pasukan atas semangat dan displin dipamerkan,” kata Buhari dalam satu kenyataan.
Turut menempah tiket pusingan akhir adalah Uganda, Mali dan Maghribi. – AFP










