Sumareh tagih sokongan peminat bola sepak esok - Utusan Malaysia

Sumareh tagih sokongan peminat bola sepak esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pemain sayap naturalisasi Malaysia, Mohamadou Sumareh percaya kehadiran 80,000 penyokong akan meniupkan semangat kepada skuad bola sepak negara  untuk  menewaskan juara bertahan Piala AFF Suzuki, Thailand dalam perlawanan  separuh akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil esok. 

Peruntukan 80,000 tiket oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk perlawanan esok dilaporkan telah habis dijual.

“Saya rasa agak yakin dan teruja bahawa sokongan ramai peminat yang akan datang menaikkan semangat saya dan kesemua pemain untuk memberikan aksi terbaik bila berhadapan pasukan lawan,” katanya dalam satu sidang akhbar praperlawanan, di sini hari ini.

Pemain Pahang itu juga tidak bimbang mengenai kemarau gol dihadapinya dalam kejohanan dwitahunan itu, tetapi sedia untuk memberikan aksi yang terbaik di hadapan peminat yang ramai.

“Saya ingin membantu pasukan untuk menang dahulu, dan jika saya berjaya menjaringkan gol dalam  perlawanan esok, ia merupakan satu bonus buat saya,” kata Sumareh.

Bagaimanapun, bek kiri Thailand, Korrakot Wiriyaudomsiri berkata, skuad Gajah Perang sedia  untuk  memberikan aksi terbaik mereka dalam perlawanan esok.

“Kami semua cergas, bersedia sepenuhnya untuk perlawanan esok dan semoga, ia merupakan hari  bertuah untuk memenangi  perlawanan,” kata pemain Buriram United.

Perlawanan separuh akhir kedua akan berlangsung di Stadium Rajamangala, Bangkok 5 Disember ini. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN