KLUANG 27 Nov. – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meneruskan hari kedua Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2018 dengan memandu kereta api dari sini ke Segamat.
Baginda, yang merupakan satu-satunya raja di negara ini yang mempunyai lesen memandu kereta api, ditemani Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.
Baginda juga meluangkan masa bersarapan dengan warga kerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Stesen Keretapi Kluang sebelum memandu kereta api menuju daerah Segamat pada

kira-kira pukul 8.30 pagi.
Setibanya di Segamat, baginda berangkat ke Padang Awam Batu Anam dengan menaiki kereta roda tiga, Morgan.
Pelbagai aktiviti disediakan untuk rakyat di situ, antaranya pameran peralatan tradisional, sukan rakyat, pertandingan memasak serta gubahan dan gimik membuat kolum.
Baginda dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan kerabat diraja meluangkan masa hampir satu jam di situ beramah mesra dengan rakyat jelata.
Konvoi KMJ 2018 diteruskan ke daerah Tangkak dan Kompleks Sukan Pagoh, Muar.
Di situ Sultan Ibrahim menyaksikan perarakan serta menyiram kanak-kanak yang menyertai program berkhatan beramai-ramai, manakala Permaisuri Johor menyampaikan sumbangan dan menyempurnakan acara cukur jambul dan berendoi.
Konvoi kemudian mengakhiri jelajah hari ini dengan bertemu rakyat jelata di Padang Awam Tongkang Pecah, Batu Pahat.
Esok KMJ 2018 akan meneruskan jelajah pada hari terakhir ke daerah Pontian, Kulai dan Johor Bahru.










