Sultan berhak tegur isu Melayu, Islam - Utusan Malaysia

Sultan berhak tegur isu Melayu, Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Nov. – Raja-raja Melayu berhak menegur ma­na-mana pihak yang sewe­nang-wenangnya mempersoalkan se­gala perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sehingga boleh mempengaruhi pemikiran rak­yat.

Pakar sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, titah Sultan Selangor, Sultan Sha­rafuddin Idris Shah sema­lam dilihat penting sebagai pe­merintah negeri demi keharmonian negara.

“Sebagai pemerintah di Se­langor, baginda sememangnya berhak menegur pihak yang berani mempersoalkan apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Malah, pihak berwajib juga perlu mengambil kira nasihat daripada pemerintah nege­ri dalam mempertahankan hak-hak orang Melayu tanpa mengetepikan hak kaum lain di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas titah Sultan Sharafuddin yang menegur tindakan golongan tidak bertanggungjawab mempersoalkan ke­­su­cian agama Islam, keistimewaan orang Melayu dan bumiputera, bahasa kebangsaan serta fungsi dan kedudukan raja-raja Melayu yang te­lah termaktub dalam Perlembaga­an Persekutuan perlu segera ditangani dan dibanteras.

Titah baginda, golongan itu juga tidak boleh dibiarkan daripada terus menghasut rakyat hingga membangkit serta mempersoalkan perjanjian kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh kaum-kaum majoriti di Malaysia sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Dalam pada itu, turut mengulas perkara tersebut, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohd. Hazmi Mohd. Rusli berkata, beliau juga berharap lebih ramai lagi pemerintah negeri menegur pi­hak yang tidak bertanggungjawab mempersoalkan fungsi dan kedudukan Raja-raja Me­layu.

“Saya bersetuju dengan titah baginda kerana adalah menjadi tugas baginda Sultan dan pemerintah negeri lain mempertahankan kedudukan Islam dan Melayu, terutamanya apabila perkara-perkara ini dilindungi oleh Perlembagaan Per­sekutuan.

“Saya berharap lebih ramai raja Melayu dapat memainkan peranan dalam perkara ini demi membantah sebarang ini­siatif untuk menghakis kedudukan istimewa orang Melayu. Apa yang dilakukan oleh baginda Sultan Selangor adalah dalam bidang kuasa baginda dan patut dihormati oleh semua rak­yat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN