KUALA SELANGOR – Sepasang suami isteri antara 18 yang ditangkap dalam Ops Aduan selepas terlibat dalam penagihan dadah di sekitar Tanjung Sepat di sini.
Dalam serbuan selama dua hari bermula Isnin lalu, kesemua yang ditahan berusia 19 hingga 47 tahun dengan didapati positif dadah jenis syabu dan Opiat.
Ketua Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Selangor, Khairulnizam Abu Samah berkata, pasangan suami isteri itu didapati sanggup menghisap dadah di hadapan anak lelakinya berusia lima tahun yang sedang tidur di dalam rumah mereka.
Katanya, suami isteri tersebut merupakan penganggur.
“Hasil siasatan awal mendapati, pasangan suami isteri itu telah terlibat dalam penagihan dadah sejak lima tahun lalu.
“Dadah yang dihisap mereka adalah jenis syabu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau menambah, pihaknya turut berjaya melumpuhkan aktiviti penjualan dadah dengan menahan dua pengedar dadah ketika menjalankan urusniaga berkaitannya di sekitar Kampung Sungai Kajang.
Ujarnya, nilai rampasan dadah daripada pengedar itu dianggarkan bernilai RM4,000.
“Kesemua mereka yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 39A dan 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983,” jelasnya. -K! ONLINE










