KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) melantik bekas jurulatih Kelab Warriors FC yang beraksi dalam Liga Singapura, Jorg Peter Steinebrunner, sebagai pengarah teknikal baharu persatuan berkenaan.
Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata pelantikan Steinebrunner, 47, dari Jerman bertujuan bagi memberi tumpuan khusus terhadap sistem pembangunan bola sepak di negeri ini.
“Hasil perbincangan bersama, Steinebrunner bersetuju menandatangani kontrak selama 10 bulan bermula 1 Januari hingga 30 Oktober 2019.
“Kami juga melantik beliau untuk membantu memilih pemain yang benar-benar berpotensi diserap ke skuad Piala Belia dan Piala Presiden sebelum dicadangkan mewakili skuad senior,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Bibi Ramjani ketika dihubungi Bernama berkata pada masa yang sama, Steinebrunner diminta supaya memberi bantuan kepada Ketua Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah untuk menilai kelemahan dan kekuatan pemain dalam setiap perlawanan.
“Urusan pemilihan pemain diserahkan sepenuhnya kepada Yusri dan kita harap Steinebrunner dapat menggunakan pengalamannya untuk mendapatkan pemain berkualiti baik pemain import mahupun tempatan.
“Setakat ini, belum ada apa-apa keputusan mengenai pemain import selepas hanya Cassio Francisco De Jesus dikekalkan dan KAFA tidak melanjutkan kontrak Cristiano Marcolino Santos dari Brazil dan Bakhtiyar Duishobekov dari Kyrgyztan yang beraksi bersama The Red Warriors musim ini,” katanya.
Untuk rekod, Steinebrunner pernah membimbing skuad Geylang International FC, PSM Makassar, Sengkang Marine FC serta Woodlands Wellington FC, dan mempunyai rekod kemenangan sekitar 43 peratus, seri 20 peratus dan kalah 35 peratus sepanjang bergelar jurulatih. – Bernama










