Soul Sisters, gandingan padu Misha, Sarah, Noryn - Utusan Malaysia

Soul Sisters, gandingan padu Misha, Sarah, Noryn

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEKA-teki berhubung tiga nama penyanyi wanita yang dijangka menggegarkan Istana Budaya pada bulan April tahun hadapan akhirnya terjawab dengan pengumuman rasmi yang dibuat oleh Edd Razhe Entertainment (ERE) baru-baru ini.

Tiga penyanyi wanita yang bakal berkongsi pentas menerusi sebuah konsert Soul Sisters di Panggung Sari, Istana Budaya pada 5 dan 6 April tahun hadapan ialah Siti Sarah Raisuddin, Misha Omar dan Noryn Aziz.

Menurut penerbit dan pengarah urusan ERE, Edd Razhe, pemilihan trio yang mempunyai kekuatan vokal tersendiri itu dibuat berdasarkan reputasi dan kebolehan mereka menyanyikan lagu soul dan R&B secara langsung.

“Tidak dinafikan, sebelum ini kami mempunyai beberapa senarai nama artis tetapi Misha, Sarah dan Noryn dipilih kerana masing-masing mempunyai aura tersendiri dan bukan berdasarkan genre muzik sahaja.

“Saya lihat mereka juga belum pernah disatukan bersama dalam sebuah konsert berskala mega begini. Jadi saya yakin mereka dapat memberikan persembahan hebat dan berlainan,” katanya yang ditemui ketika sidang akhbar konsert berkenaan baru-baru ini.

Lebih istimewa, konsert yang bakal berlangsung selama hampir dua jam tersebut akan mendapat khidmat Datuk Aziz Abu Bakar sebagai penasihat konsert dan Datuk Syafinaz Selamat pula sebagai pengarah vokal.

Kongsi Edd lagi, sebuah lagu baharu berjudul Bersatu Suara juga bakal dirakamkan oleh Misha, Sarah dan Nory sempena konsert berkenaan.

Terkedu

Dalam pada itu, bagi pelantun lagu Semakin, Siti Sarah Raisuddin mengakui terkedu saat namanya tersenarai antara artis yang bakal memeriahkan konsert Soul Sisters.

Bahkan, dia juga seakan tidak percaya apabila bakal digandingkan bersama teman baiknya, Misha Omar dan Noryn Aziz.

“Ketika abang Edd memanggil saya, Misha dan Noryn untuk satu pertemuan, kami memang tidak menjangka apa-apa. Ketika itu, masing-masing tertanya-tanya apakah sebabnya.

“Tetapi apabila diberitahu ditawarkan untuk mengadakan konsert, saya terkedu. Misha pula menitiskan air mata, kerana ia bagaikan menggamit semula kenangan antara kami. Tambahan pula, Noryn akan turut serta, jadi saya terus bersetuju tanpa berfikir panjang,” kata Sarah.

Noryn Aziz pula menyifatkan tawaran bersatu dalam Soul Sisters sebagai rezeki kerjayanya yang kembali menyinar.

“Lima tahun dahulu saya pernah terfikir seperti karier seni sebagai penyanyi akan terkubur, tetapi hari ini saya tidak sangka akan berada di sini.

“Tawaran ini bagaikan rezeki indah buat kerjaya seni saya,” tutupnya ringkas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN