KUALA LUMPUR – Bekas jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh berharap skuad Harimau Malaya yang akan turun berdepan Thailand pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 Sabtu ini mengambil iktibar dan tidak mengulangi kesilapan yang pernah dibuat sehingga menafikan hasrat pasukan untuk menjulang kejuaraan.
Beliau berkata, kesilapan dilakukan pasukan bimbingannya pada edisi 2014 lalu membenarkan Thailand menjaringkan dua gol dalam tempoh lima minit, semuanya kerana mereka gagal mengekalkan fokus apabila perlawanan memasuki 10 minit terakhir.
“Bukan mudah berdepan Thailand walaupun bermain di laman sendiri. Jadikan apa yang berlaku pada edisi 2014 sebagai pengajaran. Kita bermain dengan baik untuk mendahului 3-0 tetapi apabila kita buat kesilapan sikit sahaja, mereka hukum dan segalanya musnah,” katanya kepada Bernama.
“Kali ini kita tidak boleh buat silap lagi…pemain perlu berikan lebih daripada 100 peratus usaha dan kekal fokus selama 90 minit permainan. Singapura yang saya kira antara pasukan yang mempunyai barisan pertahanan terbaik dalam kempen kali ini juga mudah dibolosi Thailand,” tambahnya.
Malaysia berpeluang melakar nama sebagai juara Piala AFF Suzuki buat kali kedua pada edisi 2014 sebelum Thailand memusnahkan impian tersebut saat akhir dalam pertemuan final kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil. – Bernama










