JOHOR BAHRU 29 Nov. – Bagi memastikan Zoo Johor terus bersih dan selesa untuk dikunjungi khususnya pada musim cuti sekolah ini, Kumpulan SIRIM Bhd., mengadakan program gotong-royong membersihkan kawasan berkenaan, baru-baru ini.
SIRIM dalam satu kenyataan memaklumkan, program yang bertemakan ‘Go Green’ itu merupakan satu program tanggungjawab sosial korporat yang diketuai Pengarah SIRIM Bhd.,Wilayah Selatan, Zulkefly Songip.
Bagi menjayakan program itu, seramai 34 kakitangan yang terdiri daripada SIRIM Johor, SQASI Sdn. Bhd. Cawangan Johor dan SST Sdn. Bhd. Cawangan Johor menyertai aktiviti itu.
Antara aktiviti yang dilakukan termasuk menanam pokok, mengecat laluan pejalan kaki, mengecat bahagian tembok sangkar burung, mengecat replika cendawan selain mengutip sampah di kawasan zoo berkenaan.
Bagi memastikan program berjalan dengan lancar, petugas telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dalam program yang berlangsung bermula pukul 9 pagi sehingga 1 petang itu.
Zoo Johor yang dibina pada tahun 1928 terletak di Jalan Gertak Merah, di sini merupakan zoo tertua di negara ini.
Zoo tersebut kini menempatkan lebih daripada 100 spesies haiwan dari dalam dan luar negara.










