KUALA LUMPUR 19 Nov. – Orang ramai di sekitar Lembah Klang dinasihatkan berhati-hati agar tidak terjerat dengan sindiket yang menawarkan sewaan ‘wajib dapat’ unit Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Pengarah Jabatan Perancang Korporat DBKL, Khairul Azmir Ahmad berkata, pihaknya melalui Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar (JPKKB) menerima beberapa aduan mengenai kes penipuan yang sedang aktif beroperasi di sekitar kawasan Lembah Pantai, di sini.
Beliau berkata, modus operandi sindiket yang memalsukan tandatangan pengarah dan pegawai di JPKKB itu dikesan telah berjaya memperdayakan mangsa yang ingin mendapatkan unit kediaman sewa.
“Daripada kes yang dilaporkan, pengadu hanya sedar ditipu selepas gagal mendapatkan kunci rumah setelah surat tawaran penyewaan diterima.
“Bagi setiap tawaran penyewaan, mangsa diminta membuat bayaran awal antara RM5,000 hingga RM8,000 dan diberi jaminan diluluskan oleh individu yang menyamar sebagai ejen,’’ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Khairul Azmir, DBKL tidak pernah melantik mana-mana individu atau orang tengah untuk melakukan perkhidmatan permohonan dan pendaftaran bagi sewaan kediaman PPR dan PA. – UTUSAN ONLINE










