Sindiket penyeludupan migran, dadah didalangi warga Indonesia tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket penyeludupan migran, dadah didalangi warga Indonesia tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 19 Nov. – Polis negeri berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran dan dadah didalangi warganegara Indonesia di sekitar bandar Melaka dengan penangkapan 20 suspek termasuk tiga warga tempatan sejak 5 November lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, enam suspek warga Indonesia termasuk dua wanita ditahan pada 5 November lalu di Pulau Upeh di sini semasa cuba memasuki negara ini secara haram menaiki bot pancong.

Menurutnya, hasil penahanan tersebut, polis melalui Jabatan Siasatan Jenayah negeri berjaya membongkar aktiviti sindiket dan melancarkan dua lagi serbuan di Batu Berendam dan Malim pada 16 dan 17 November lalu.

“Hasil serbuan di lokasi pertama polis berjaya menangkap dua lagi lelaki Indonesia serta dua lelaki tempatan sementara sembilan warga Indonesia termasuk dua wanita serta seorang lelaki tempatan ditahan di lokasi kedua.

“Hasil serbuan di lokasi terakhir itu, polis turut merampas sejumlah dadah disyaki syabu seberat 10.129 kilogram bernilai RM519,350,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Bukit Beruang di sini sebentar tadi.

Menurut Raja Shahrom, kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 23 November untuk siasatan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN