BERA 29 Nov. – Sikap suka mengalah dan kesungguhan yang ditunjukkan pasangannya mendorong Tina Yusof, 49, menerima lamaran Muhammad Zulhelmie Fikrie Salihin, 26, meskipun jarak usia mereka berbeza 23 tahun.
Majlis perkahwinan pasangan itu, yang merupakan generasi baharu Felda, berlangsung di rumah pengantin wanita di Felda Bukit Kepayang di sini, Sabtu lalu dan gambar perkahwinan mereka tular dalam media sosial sejak beberapa hari lepas.
Tina yang menjalankan perniagaan kedai makan sejak 20 tahun lepas mempunyai lima anak berusia 13 hingga 32 tahun dan empat cucu.
Wanita berkenaan yang menjadi ibu tunggal hampir enam tahun selepas kematian suami pertamanya berkata, dia mengenali Muhammad Zulhelmie menerusi laman sosial Facebook dan mengambil masa selama dua tahun untuk membuat keputusan berkahwin dengan jejaka berkenaan.
“Kalau jodoh kita tidak ke mana, saya boleh terima sebab dia banyak mengalah. Sebagai perempuan, kita suka lelaki macam itu yang boleh bertolak ansur.
“Dia menerima saya seadanya dan menyatakan menyukai wanita berusia yang nampak lebih matang dalam melayari kehidupan rumah tangga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Bukit Kepayang di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Tina berkata, dia bersyukur kerana anak-anaknya dapat menerima kehadiran suami baharunya itu meskipun ada yang sebaya dengan mereka, manakala ibu bapa dan ahli keluarga suaminya juga menerimanya dengan baik.
Sementara itu, anak sulung Tina, Norashiela Muhammad Jamil, 32, berkata, dia dan empat adiknya mendoakan kebahagiaan ibunya itu dalam melayari fasa baharu kehidupan berumah tangga.
“Mula-mula kami tidak bersetuju juga emak hendak kahwin atas perbezaan faktor usia tetapi lama kelamaan selepas berbincang, mungkin itu jodoh emak dan kami menerimanya,” katanya.










