SHAH ALAM – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) ke-14 di sini hari ini.
Mereka ialah ADUN Balakong, Wong Siew Ki dan ADUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar yang mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim.
Majlis mengangkat sumpah itu diadakan sebelum pembentangan Belanjawan Selangor 2019 oleh Menteri Besar, Amirudin Shari.
Kedua-dua ADUN tersebut yang mewakili Pakatan Harapan menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN masing-masing yang diadakan serentak pada 8 September lalu.
Wong, 32, meraih 22,508 undi bagi mengatasi calon MCA, Tan Chee Teong (3,975 undi) manakala Halimey, 46, pula memperoleh 13,725 undi menewaskan calon PAS, Dr Halimah Ali, yang mendapat 9,698 undi.
Kedua-dua PRK itu diadakan susulan kematian mendiang, Eddie Ng Tien Chie daripada DAP bagi DUN Balakong dan Prof. Dr Shaharuddin Badaruddin (PKR) untuk DUN Seri Setia. – K! ONLINE











