Siasat barisan Exco negeri - Utusan Malaysia

Siasat barisan Exco negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 27 Nov. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bebas menyiasat dan mengambil tindakan ke atas pemimpin kerajaan negeri jika mereka menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi.

Pengerusi Jawatan­kuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Mazlan Bujang berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan tindakan pihak berkuasa ke atas pemimpin termasuk Menteri Besar dan barisan Exco jika ada bukti mereka berbuat demikian.

“Itu cuma peringatan sahaja, khabar angin itu perkara biasa dalam politik. Jadi, kalau betul ada Exco yang salah guna kuasa untuk kepen­tingan peribadi, silalah SPRM atau PDRM tangkap kerana kita bertindak sebaik-baiknya menjadi kerajaan yang bersih.

“Kalau katalah salah laku daripada pihak Menteri Besar pun, jika ada bukti dan sebagai­nya silalah pihak SPRM atau polis. Kita tidak lindungi siapa juga yang buat kesilapan,” katanya ditemui pada program tanggungjawab sosial korporat Senai-Desaru Expressway Bhd. di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu barisan Exco memberikan kerjasama kepada Menteri Besar sebagai sebuah pasukan selain mahu mereka menjalankan amanah diberi pada Majlis Istiadat sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-60 di Dewan Singgahsana Istana Besar di sini baru-baru ini.

Mazlan berkata, perkara penting pada masa ini adalah barisan Exco dan Menteri Besar bekerjsama dengan baik untuk membuat keputusan yang akan menguntungkan rakyat selain menjalankan kerja berlandaskan undang-undang.

“Saya dan Menteri Besar bukan baru kenal, kita pun dah lama dalam politik, isu propaganda dan sebagainya perkara biasa.

“Yang penting kita semua buat kerja masing-masing,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN