KUALA LUMPUR – Shopee, platform e-dagang utama di Asia Tenggara dan Taiwan mencatatkan pertumbuhan kukuh pada suku ketiga 2018, dengan pesanan kasar dan nilai barangan kasar masing-masing meningkat 24 dan 21.1 peratus daripada suku kedua.
Pengarah Urusan Serantaunya, lan Ho berkata, Shopee juga akan mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi membeli belah dalam talian dengan bilangan pengguna meningkat sebanyak kira-kira 150 peratus pada tahun lepas.
“Tahun lepas merupakan tahun yang menarik bagi Shopee Malaysia, dengan 16 juta muat turun, kira-kira 400,000 penjual aktif, 450 pekerja dan 600 jenama serta rakan kongsi runcit di Shopee Mall,” katanya pada majlis anugerah Shopee Sellers Awards 2018, yang diadakan di Grand Hyatt, pada Selasa.
Timbalan Ketua Setiausaha Kepenggunaan dan Pengurusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Muez Abd Aziz berkata, adalah suatu yang memberangsangkan melihat platform e-dagang seperti Shopee membangun dan berkembang dengan pantas sekali.
“Ia adalah peluang seperti ini yang kerajaan berharap dapat memberi insentif dan menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana untuk merebutnya dan harapnya ia akan terus berkembang dan sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi digital Malaysia,” katanya.
Sementara itu Ian berkata, anugerah tersebut adalah sebagai penghargaan terhadap sokongan penjual, jenama dan rakan kongsi, yang membentuk tulang belakang kepada kejayaan pesat yang dicapai mereka. – Bernama










