Serang penyelia kerana tidak puas hati - Utusan Malaysia

Serang penyelia kerana tidak puas hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIMBANG – Seorang penyelia sebuah jabatan berdepan detik menakutkan selepas dia diacu parang oleh pekerjanya berikutan rasa tidak puas hati dalam satu kejadian di Hospital Limbang di sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 2.15 petang itu, wanita berusia 34 tahun dan bertugas sebagai Penolong Akauntan di Hospital Limbang didatangi suspek yang membawa sebilah parang.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Mohd. Bukhori Saffiai berkata, suspek berusia 31 tahun datang kepada mangsa sambil memarahinya kerana tidak berpuashati dengan markah Sasaran Kerja Tahunan (SKT) yang diterima. 

“Walaupun sudah dibawa berbincang tetapi suspek masih tidak berpuashati malah terus bertindak menghunus parang untuk cuba menyerang mangsa.

“Bagaimanapun, rakan sekerja mangsa yang ternampak kejadian itu berjaya menghalang cubaan suspek lalu beredar meninggalkan hospital,” katanya ketika dihubungi tadi.

Menurutnya, suspek tidak berpuas hati kerana memperoleh markah 80 peratus berbanding pencapaiannya sebelum ini iaitu 87 peratus.

Katanya, suspek memang seorang yang panas baran dan pernah berkahwin namun bercerai akibat sikapnya itu.

“Mangsa dan suspek sudah bekerjasama selama dua tahun di bahagian kewangan Hospital Limbang,” ujarnya. 

Susulan daripada kejadian itu, suspek berjaya ditangkap bersama sebilah parang yang digunakan menyerang mangsa di Kampung Patiambun di sini pukul 12.35 tengah hari semalam.

Suspek ditahan reman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN