KUALA LUMPUR – Seramai sembilan lelaki ditahan dalam enam serbuan berasingan di sekitar daerah Cheras kerana menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen atau loteri awam dalam Ops Dadu bermula 1 November lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, operasi yang dilakukan oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras itu turut merampas wang tunai berjumlah RM3,323.
“Kesemua suspek berusia di antara 20 hingga 65 tahun ditahan dalam enam serbuan berasingan yang dilakukan di beberapa kawasan sekitar daerah Cheras seperti Salak Selatan dan Bukit Jalil.
“Polis turut merampas sebuah mesin pencetak dan sembilan unit telefon bimbit yang digunakan untuk aktiviti perjudian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamed Mokhsein berkata, kesemua suspek yang merupakan warga tempatan kemudiannya ditahan reman selama dua hari bermula sehari selepas mereka ditahan.
“Jika tangkapan disabitkan di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM20,000 dan tidak lebih dari RM200,000 dan hendaklah juga dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun.
“Jika tangkapan disabitkan di bawah Seksyen 9(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” tegas beliau.
Tambah Mohamed Mokhsein, siasatan yang dilakukan mendapati, sindiket-sindiket yang dianggotai kesemua suspek berkenaan masih lagi cuba mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan daripada kegiatan perjudian haram berikutan permintaan daripada pelanggan tegar.
“Pihak polis memohon bantuan orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti perjudian tidak berlesen agar tindakan lanjut bagi memastikan tiada sebarang aktiviti perjudian tanpa lesen dijalankan terutamanya di sekitar ibu kota,” katanya. – K! ONLINE










