KEGAGALAN pengurusan plastik atau kempen 3R mesti dilihat secara menyeluruh dan melibatkan semua pihak. Mungkin boleh dimulakan dengan menteri.
Apa kata Perdana Menteri dan semua menteri di Malaysia tentang sisa pepejal dan sisa plastik. Ini penting kerana isu pengurusan plastik melibatkan banyak kementerian.
Maka layak dibincangkan secara serius dalam Kabinet mencari penyelesaian segera.
Cadangan dan kaedah penyelesaian serta peruntukan kewangan perlu ditunjukkan kepada rakyat bagi meyakinkan mereka dalam perubahan sikap dan amalan tentang pengurusan plastik.
Penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penting.
Persatuan Pencinta Alam (MNS) sebagai contoh sentiasa melaksanakan kempen melalui aktiviti pendidikan dan penglibatan masyarakat amnya. Mungkin kerajaan boleh menyalurkan kaedah pelaksanaan melibatkan agensi kerajaan dan masyarakat menerusi MNS.
Menurut Presiden MNS, Prof. Dr. Ahmad Ismail, kaedah paling baik dalam mengubah sikap dan fikiran manusia ialah menerusi program pendidikan yang berterusan.
Promosi dan pendidikan berterusan boleh mengubah budaya masyarakat.
“Penggunaan plastik yang sudah sebati dalam kehidupan manusia apabila hendak diubah memang berat sekali.
“Proses perubahan mungkin mengambil masa. Mungkin dengan pengharaman penggunaan plastik di Putrajaya dan seluruh sekolah boleh memberikan pendidikan dan penguatkuasaan yang berkesan.
“Kalau sejuta penjawat awam dan sejuta pelajar mengamalkan setiap hari mungkin dapat mengubah budaya masyarakat.
“Kita tidak mahu seperti kempen tidak merokok iaitu semakin ramai orang merokok dan semakin bertambah premis menjual rokok malah masih ada individu yang masih tegar merokok di tempat awam dan mencemar manusia lain,’’ ujarnya.
Kegagalan kempen kitar semula, mengurangkan penggunaan plastik dan menolak penggunaannya perlu dilihat secara serius dan segera kerana ia memberikan kesan jangka panjang kepada manusia, alam sekitar dan hidupan lain di Malaysia malah di seluruh dunia.
Isu pencemaran sisa pepejal adalah isu antarabangsa.
Kata Dr. Ahmad, antara isu yang diketengahkan ialah penggunaan tanah yang mahal untuk kawasan pelupusan sampah, pengurusan tapak pelupusan sampah, pembakaran terbuka di kawasan pelupusan sampah, pencemaran gas beracun dan gas rumah hijau, pencemaran air bawah tanah dan sungai, sampah terutama plastik.
“Plastik ini akhirnya terlepas ke sungai dan akhirnya ke laut,” ujarnya.
Kos pengangkutan, pengurusan sisa pepejal, peningkatan sisa pepejal, penggunaan teknologi seperti insinerator dan mekanikal, biologi dan teknikal yang menimbulkan masalah baharu seperti pencemaran udara dan kos teknologi yang tinggi.
“Manusia mencipta sampah yang mereka sebenarnya tidak memerlukan sampah,” ujarnya.
Ada dua jenis sampah yang utama iaitu bahan organik serta tidak organik, dan bahan tidak mudah diurai.
Dengan pengetahuan yang ada, manusia boleh mengurangkan sisa bahan organik daripada dibuang ke tapak pelupusan sampah seperti mengurangkan bahan organik daripada dibawa balik ke rumah, menjalankan aktiviti membuat kompos di rumah pada peringkat individu atau komuniti.
Kerajaan, kata beliau mestilah memikirkan kaedah terbaik pengurusan sisa organik dari ladang, pasar besar, kedai runcit dan rumah.
Misalnya kenapa pisang perlu dibeli bersama tandannya, begitu juga buah nanas perlu dibeli dengan jambul dan tangkainya dan ikan perlu dibeli dengan perutnya sekali.
Begitu juga dengan bahan lain yang lebih 50 peratus akan menjadi sisa organik di rumah dan akhirnya membebankan pihak lain menguruskan sisa ini.
Kajian dan teknologi mesti disediakan untuk pengurusan sisa organik berkesan.
Bagi sisa pepejal, lagi banyak perbincangan kerana ia tidak mudah diurai seperti sisa bahan organik.
Sebagai contoh katanya, sisa yang selalu dibincangkan adalah plastik.
Plastik pakai buang seperti botol air, lampin, beg plastik, straw plastik, tali plastik untuk potong rumput di tepi jalan atau taman kawasan perumahan. Polistrin juga menjadi perbincangan hangat pada peringkat global.
Bahan plastik ini akhirnya ke tapak pelupusan sampah yang mengambil masa beratus-ratus tahun untuk diurai atau mungkin hanyut ke laut dan membahayakan hidupan laut yang tersalah anggap seperti makanan mereka.
Beribu-ribu hidupan laut mati akibat tercekik plastik.
Begitu juga penggunaan manik mikro (microbeads) dalam bahan kosmetik yang setiap hari dibuang melalui sinki dan ke longkang yang akhirnya mencemar ekosistem laut.
Kementerian dan agensi yang sepatutnya berganding bahu menangani masalah plastik.
- Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC),
- Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS)
- Kementerian Pengangkutan
- Kementerian Kewangan
- Kementerian Kesihatan
- Kementerian Pendidikan,
- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
- Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat,
- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna
- Pihak berkuasa tempatan (PBT)
Pencemaran plastik jadi ancaman serius
PENCEMARAN plastik menjadi hangat lagi pada tahun 2018 apabila Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf plastik berbahaya di lautan serta membunuh hidupan laut dan boleh mengumpul dalam jaringan makanan yang akhirnya membahayakan manusia.
Justeru, PBB mengajak semua negara terlibat dalam pengurusan plastik yang berkesan.
Malaysia pada kedudukan kelapan di dunia dalam pencemaran plastik juga tidak ketinggalan dalam meningkatkan pengurusan plastik. Berbagai-bagai aktiviti diadakan seperti kempen, seminar, forum, dialog, pendidikan dan penyelidikan termasuk penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan.
Namun bagi MNS, kejayaannya belum nampak lagi. Misalnya, kempen penggunaan beg plastik semasa berbelanja. Rakyat dikenakan bayaran 20 sen sekiranya memerlukan beg plastik. Masyarakat digalakkan merancang dan membawa beg sendiri untuk membeli barang keperluan di pasar.
Tidak ada kajian sistematik yang menunjukkan kejayaan program ini. Apa yang kita lihat dalam media ialah protes dalam kalangan masyarakat, mempersoal ke mana wang 20 sen dan meminta pilihan lain yang boleh ditawarkan peniaga atau pasar raya.
Begitu juga dengan kempen kitar semula 3R barangan plastik dan tin aluminium. Kempen ini dijalankan di merata-rata termasuk sekolah dan universiti. Namun kita masih lihat di perangkap sampah sungai banyak botol plastik dan beg plastik yang hanyut di sungai dan sekiranya tidak dikawal akan sampai ke laut.
Semua perbincangan Hari Bumi, Hari Alam Sekitar, Hari Lautan Sedunia, Hari Habitat Sedunia dan Hari Penyu Sedunia berbincang tentang pencemaran plastik.
Namun kita lihat bukan sahaja sampah plastik semakin banyak dibuang malah plastik dari luar negara juga terus diimpot untuk diproses di Malaysia.
Ini sangat mencabar kerajaan sekarang dan rakyat amnya.










