KUALA TERENGGANU 28 Nov. – Gelagat spontan Datuk Seri Ahmad Said (BN-Kijal) yang berseloroh menyatakan seluar dalam yang diperbuat daripada silika mampu merawat mati pucuk telah menggamatkan Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.
Menurut bekas Menteri Besar itu, berdasarkan satu kenyataan yang dibacanya sebelum ini mendapati seluar dalam yang diproses daripada bahan silika berupaya memulihkan penyakit mati pucuk kalangan lelaki.
“Saya ada baca satu kenyataan bahawa Silika boleh buat underware (seluar dalam) dan underware ini boleh rawat lelaki yang mati pucuk,” katanya seloroh dan disambut gelak ketawa anggota dewan.
Ahmad menyatakan perkara itu ketika mencelah penjelasan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar yang menjawab soalan Ahmad Shah Mohamed (Pas-Bandar) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini hari ini.
Tengku Hassan kemudian dengan nada senda menyahut celahan Ahmad itu dan katanya, beliau bersedia untuk bekerjasama dengan ADUN Kijal tersebut berhubung perkara itu.
“Saya akan kerjasama dengan YB (Ahmad) mengenai perkara itu,” katanya seloroh.
Ahmad berbuat demikian sebagai susulan kepada jawapan Tengku Hassan bahawa kelebihan baju yang diperbuat daripada silika boleh mengeluarkan satu isyarat `unik’ sekiranya pemakainya berasa tidak sihat atau demam. – UTUSAN ONLINE









