Segmen lebih interaktif - Utusan Malaysia

Segmen lebih interaktif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK awal November lalu, saluran TV Hijrah telah memperkenalkan tiga slot baharu iaitu Slot Interaktif, Slot Wanita dan Slot 10 malam. Slot Interaktif yang bersiaran pada pukul 7 pagi hingga 8 pagi diserikan dengan dua program iaitu Assalamualaikum Interaktif pada setiap Isnin hingga Khamis dan Tadabbur al-Quran Jumaat.

Sementara itu, Slot Wanita menampilkan program baharu Pink Point yang disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat selama satu jam bermula pada pukul 2 petang dan dikendalikan oleh Azidah Mohamed.

Bagi Slot 10 malam, terdapat dua program baharu yang diperkenalkan iaitu Sila Duduk Jangan Lari dan Analisis. Sila Duduk Jangan Lari dipertanggungjawabkan kepada pasangan hos Farah Adeeba dan Abu Talib Husin. Untuk Analisis, Syafinaz Yunus bertindak sebagai hos rancangan.

Pink Point yang merupakan rancangan bual bicara separa realiti itu dikendalikan oleh Azidah Mohamed dengan ditemani oleh panel-panel hebat mengikut topik antaranya Dr. Fauziah Hassan.

Mengendali bual bicara Analisis secara langsung bukanlah perkara mudah tapi semua itu dapat dilakukan oleh Syafinaz Yunus dengan tenang selaku hos program tersebut.

Jelas Syafinaz, dia telah mula mengendalikan program tersebut sejak setahun lalu dan program setengah jam itu kini berlanjutan selama satu jam setiap Jumaat pada pukul 10 malam.

“Program ini fokus kepada isu dalam dan luar negara secara terperinci. Dari semasa ke semasa, saya dapat rasakan momentum yang baik daripada penonton. Antara panel yang saya wawancara ialah menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), para ilmuan, profesor dan doktor yang akan bercakap tentang isu-isu semasa dalam dan luar negara.

“Meskipun ini program serius, selepas setahun bersiaran kita dapat lihat peningkatan jumlah penonton antaranya rating naik dari 100,000 hingga 180,000 orang.

“Bagi program sebegini untuk mencapai 180,000 tontonan bukan perkara mudah memandangkan program ini serius dan tak ramai yang mahu menonton program begitu. Alhamdulillah,” katanya.

Untuk edisi sekarang, selain mengetengahkan pemimpin dari Malaysia, pihak produksi juga tidak melepaskan peluang memberi ruang kepada pemikir-pemikir tanpa mengira usia.

“Program ini terbuka kepada sesiapa saja, kalau ada pemikir muda yang ada idea menarik tentang isu-isu dalam dan luar negara, kita akan jemput dia. Yang penting kita mahu mendengar buah fikirannya.

“Sekarang ini kita tahu orang ramai nak tahu pandangan pemikir muda. Kita akan jemput tiga orang pemikir muda untuk lontarkan idea-idea mereka tentang isu dalam dan luar negara.

“Analisis kali ini di bawah pimpinan kerajaan baharu dan soalan akan lebih kritikal dan analitis serta lebih terus terang, tiada lagi berselindung. Itulah segmen yang menarik perhatian penonton,” ujarnya.

Menyentuh mengenai topik yang diperkatakan, jelas Syafinaz, semua isu yang dipilih berdasarkan isu semasa yang bakal dikupas dari pelbagai sudut.

Selain itu, katanya, demografi penonton TV Alhijrah juga berbeza dengan stesen lain terutama untuk program yang dikendalikan oleh Syafinaz.

“Sasaran penonton Analisis berbeza dengan program yang dikendalikan di stesen lain. Kita dapat lihat penonton program ini adalah wanita yang mempunyai latar belakang pendidikan yang agak tinggi. Kalau kita letak pengacara yang bijak, rating akan naik.

“Macam Analisis, apabila dibuat kajian, kebanyakan penonton adalah dalam kalangan mereka yang mempunyai kerjaya seperti profesor, doktor dan penulis blog serta remaja.

“Saya sendiri suka kongsi topik dalam laman sosial dan dapat lihat maklum balas daripada warganet dan apabila tengok profil mereka ada antaranya Pegawai Tadbir Diplomat (PTD),” katanya.

Pun begitu, program Analisis ini juga mempunyai cabaran tersendiri antaranya mencari panel yang bersesuaian topik selain berani melontarkan pandangan mereka.

Sebagai persediaan sebelum mengendalikan program, Syafinaz sering menjadikan UpFront kelolaan Mehdi Hassari dari Al Jazeera sebagai rujukan. Selain itu dia juga kerap menonton program HardTalk yang disiarkan dalam saluran BBC News.

“Lain-lain program bual bicara yang saya suka adalah Ellen DeGeneres. Biarpun konsepnya berbeza dengan program saya kendali tapi saya suka tengok cara dia kendali program waktu menemuramah Barack Obama,” katanya.

JUDUL Sila Duduk Jangan Lari diambil daripada ungkapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sewaktu memulakan ucapan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen Ke-14, Julai lalu.

Rancangan yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis yang dikendali oleh Farah Adeeba dan Abu Talib Husin itu memilih pendekatan santai, humor, interaktif dan provokatif.

Kesemua elemen itu diguna pakai untuk membicarakan isu-isu semasa negara termasuk perihal agama, kekeluargaan, ekonomi, hiburan dan lain-lain.

Dua pengacara mengendali sebuah program perlu keserasian dan dalam soal itu Farah dan Talib tidak menghadapi masalah kerana sebelum ini mereka sudah pernah bekerjasama dalam satu unit.

“Farah adalah wartawan senior saya sewaktu di unit berita sebelum ini. Tak sangka kami diberi peluang untuk bekerjsama dalam program Sila Duduk Jangan Lari yang bercerita tentang isu semasa.

“Jika sebelum ini orang hanya tengok berita untuk mengetahui perkembangan semasa yang kemudiannya dibincangkan secara serius dalam program Bual Bicara. Tapi kami pula menjadikan isu serius itu disampaikan secara santai dan mudah difahami oleh penonton tanpa mengira batas usia,” jelas Talib.

Walaupun cara penyampaian mereka santai dan tidak terikat dengan tradisi bual bicara yang pernah disiarkan secara langsung, adab tetap perlu dijaga.

“Topik serius tapi disampaikan dalam santai, kalau unsur kelakar pun boleh supaya penonton mudah faham. Begitu juga kalau tiba-tiba saya atau Farah bangun dan menuju kepada penonton, tidak ada masalah.

“Dalam erti kata lain, program ini memecah tradisi bual bicara yang disiarkan secara langsung selama ini,” kata Talib.

Sementara itu, Farah Adeeba Mohamed Ashraf yang merupakan Duta Aman Palestin berkata, setiap kali ke udara program gandingannya dengan Talib akan menampilkan seorang penonton istimewa dalam kalangan yang hadir.

Jelasnya, penonton tersebut dipanggil King dan akan diberi tempat duduk khas.

“Paling seronok dalam program ini pada setiap episod ada King dalam kalangan penonton yang duduk di kerusi khas. King ini akan bertukar dari semasa ke semasa dan dia bebas untuk bercakap dan tanya soalan kepada tetamu. Kalau dia tak setuju dengan hos, dia boleh utarakan pandangan.

“Untuk setiap isu, panel yang ditampilkan berbeza mengikut kepakaran masing-masing. Sebagai hos saya perlu meletakkan diri sebagai penonton untuk bertanya kepada panel. Kerap kali, soalan yang kami tanya, itulah yang bermain di minda orang ramai,” jelas Farah pula.

MENGENDALIKAN program seorang diri, lima hari setiap minggu bukanlah satu pekerjaan mudah. Bagi Nurazidah Mohamed, 32, semua itu boleh diatasi kerana minatnya sebagai pengacara.

Biarpun pernah mengendali program Assalamualaikum lebih dari enam tahun tapi menguruskan Pink Point adalah satu pengalaman baharu.

Katanya, peluang yang diberi oleh pihak pengurusan kepadanya untuk menjadi hos Pink Point amat mencabar kerana selama satu jam, dia perlu mengendalikan seorang diri tanpa rakan kerja lain seperti dalam program Assalamualaikum.

“Pink Point adalah rancangan bual bicara separa realiti yang mengangkat dimensi kewanitaan dengan memberi ruang kepada penonton di studio untuk membincangkan isu-isu yang memperkasakan citra wanita.

“Sebenarnya, saya memang berdebar mengendalikan program secara langsung ini, maklumlah sebelum ini ada rakan setugas yang boleh bantu, sekarang ini sendirian.

“Di studio juga ada pembantu hos iaitu Floor Manager yang akan bertanya soalan provokasi kepada penonton. Tugas pembantu hos ini adalah untuk mencetus konflik agar menarik perhatian penonton,” ceritanya.

Kata Nurazidah, penonton yang berada di dalam studio juga bebas untuk bertanya soalan kepada panel kerana objektif utama Pink Point adalah untuk mencari solusi bagi setiap permasalahan yang dihadapi oleh golongan wanita.

Katanya, maksud Pink itu sendiri adalah simbolik kepada wanita dan Point pula bertujuan untuk mencari solusi.

“Program itu ada tiga segmen iaitu segmen nasional, segmen cadangan solusi dan segmen cerita inspirasi.

“Biarpun saya kendali seorang diri tapi saya bersyukur kerana sepanjang ke udara, saya mendapat kerjasama penuh daripada pasukan pengarang TV Alhijrah.

“Apabila mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak, kerja saya menjadi lebih mudah. Pink Point ini merupakan perkembangan baharu dalam kerjaya saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN