KOTA BHARU 31 Okt. – Sebanyak 607 pusat pemindahan banjir disediakan di seluruh negeri ini yang dijangka mampu memuatkan 198,060 mangsa dalam menghadapi musim tengkujuh tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Mumtaz Md. Nawi berkata, lapan daripada 607 pusat pemindahan itu pula mampu menampung kapasiti sehingga 2,000 mangsa dalam sesuatu masa.
Beliau berkata, kerajaan melakukan pelbagai penambahbaikan termasuk ke atas sistem pengurusan banjir serta kemudahan dan prasarana untuk mangsa selepas mengambil iktibar daripada pengalaman sebelum ini.
“Kita juga sudah menyediakan direktori untuk memantapkan jaringan hubungan terutama kalangan petugas.
“Pada tahun ini makanan alas perut juga disediakan sebagai bantuan awal untuk mangsa dan sehingga kini kita sudah melantik 5,463 sukarelawan yang akan bertugas di pusat pemindahan,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd. Roseli Ismail (Pas-Kemuning) mengenai langkah-langkah diambil kerajaan negeri menghadapi musim banjir tahun ini.
Sementara itu, Mumtaz berkata, dalam menghadapi isu sungai cetek dan longkang tersumbat, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri yang turut berada dalam Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Banjir sudah berada dalam keadaan siap siaga.
“Kita menyeru pemimpin setempat untuk segera memaklumkan kepada pihak JPS sebarang masalah yang dikesan supaya ia dapat diatasi,” katanya.











