KUALA LUMPUR 26 Nov. – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai mewakili Barisan Nasional (BN) menasihati Menteri Kewangan, Lim Guan Eng supaya berhenti daripada terus memberikan imej buruk kepada pimpinan kerajaan sebelum ini.
Shahidan berkata, beliau sedar perkataan yang sering diulang-ulang seperti perompak yang dilontarkan kepada BN boleh mempengaruhi pemikiran rakyat.
Namun baginya, tuduhan sebegitu tidak wajar terkeluar daripada mulut seorang menteri kanan.
“Menteri Kewangan merupakan kedudukan yang cukup mulia, biarlah perkataan-perkataan seperti perompak itu dibuat oleh orang lain.
“Persepsi negara bergantung kepada kata-kata dan nada Menteri Kewangan. Kalau menteri beri persepsi yang baik, prestasi ekonomi negara akan melambung. Saya tegur sebagai seorang kawan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.
Guan Eng turut hadir dalam perbahasan tersebut dan dilihat tersenyum sewaktu Shahidan melabelkan menteri itu sebagai kawan.
Shahidan pada masa sama mengucapkan terima kasih kepada Guan Eng kerana meluluskan kembali peruntukan kepada kumpulan petani, nelayan dan penoreh getah.-UTUSAN ONLINE











