SERING kita terdengar kisah warga emas yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya malah dibiarkan hidup melarat dalam persekitaran yang menyedihkan. Di Malaysia, warga emas ditakrifkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas berpandukan kepada takrifan yang dibuat di World Assembly On Ageing 1982 di Vienna.
Hati saya amat tersentuh apabila terbaca kisah golongan berusia yang terabai terutamanya mereka yang masih mempunyai anak atau saudara mara. Sebagai seorang yang bakal menyambut ulang tahun ke-72 akhir tahun ini, sudah tentu saya berasa sebak apabila mengetahui ada rakan seusia dibiarkan hidup berseorangan manakala ada sesetengahnya ditinggalkan di hospital, rumah kebajikan atau hentian bas oleh anak atau saudara mereka sendiri.

emosi ibu bapa terganggu, berisiko mengalami kemurungan dan
mengakibatkan nyanyuk. –GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Ketika berjumpa warga emas dalam pelbagai program di seluruh negara, ramai di antara mereka yang mengadu kesedihan apabila anak atau saudara mara langsung tidak melawat atau bertanya khabar. Ada di antara mereka lebih muda atau tua daripada saya namun hidup dalam kesedihan kerana menghidapi penyakit dan diabaikan keluarga.
Sebenarnya perkara ini telah lama berlaku dan saya sendiri berpengalaman mengendalikan kes-kes sedemikian ketika menjadi pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada tahun 1990-an. Ketika itu, saya terpaksa meminta bantuan pihak swasta untuk menyelesaikan bil perubatan, makanan dan mencuci tempat tinggal kira-kira 12 warga emas yang ditinggalkan di HKL.
Pengabaian warga emas atas alasan anak-anak sibuk bekerja menyebabkan emosi ibu bapa terganggu, berisiko mengalami kemurungan dan seterusnya mengakibatkan nyanyuk atau dementia.
Pakar Geriatrik Hospital Canselor Tunku Mukhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTPM PPUKM) Dr. Hazlina Mahadzir baru-baru ini berkata, akta khas patut diwujudkan bagi membela nasib ibu bapa yang ditinggalkan sendirian di kampung.
Beliau berkata, tidak melawat atau menghiraukan ibu bapa di kampung dianggap bentuk pengabaian dan seharusnya dikenakan tindakan undang-undang bagi mengelak anak melupakan tanggungjawab terhadap orang tuanya.
Saya tidak pernah terfikir bahawa suatu hari kita terpaksa memperkenalkan undang-undang sebegini, namun perkembangan negatif yang berlaku sejak kebelakangan ini mungkin mewajarkan tindakan drastik bagi mengelak warga emas terabai.
Jika sebelum ini kita sentiasa berbangga dengan budaya timur yang terkenal dengan sikap bersopan-santun dan amat menghormati orang tua, nilai murni sedemikian sebenarnya semakin luntur akibat pelbagai sebab termasuk tekanan peningkatan kos hidup.
Ramai pihak berpendapat jika ibu bapa boleh didakwa kerana mengabaikan anak mereka, tindakan yang sama sepatutnya boleh dikenakan terhadap anak yang tidak mempedulikan ibu bapa mereka. Sebagai seorang anak, kita perlu ingat bahawa ibu bapa kita yang tinggal sendirian berisiko mengalami kemalangan seperti terjatuh atau menjadi mangsa jenayah.
Malaysia kini sedang dalam proses menjadi negara tua apabila 7 peratus daripada penduduknya berusia 65 tahun ke atas menjelang 2030 dan sudah tentu kita harus berfikir bagaimana untuk berhadapan dengan pelbagai masalah dan cabaran berkaitan.
Memandangkan kos sara hidup dijangka meningkat dalam tahun-tahun akan datang, adalah penting untuk menyediakan jaringan keselamatan sosial termasuk membolehkan warga emas yang sihat dan berpengalaman bekerja.
Kita boleh mencontohi pendekatan yang diambil oleh negara-negara lain yang memperkenalkan pelbagai insentif kewangan bagi majikan yang menggaji atau mengekalkan pekerja berusia dan memberi latihan kepada mereka.
Negara juga harus mempunyai program keselamatan sosial yang lebih komprehensif kerana kajian menunjukkan pendapatan persaraan bagi kebanyakan orang tua tidak mencukupi. Lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan perlu ditubuhkan untuk menjaga kebajikan warga emas yang diabaikan oleh ahli keluarga mereka terutamanya yang menghidapi penyakit.
Kita perlu membantu warga tua untuk kekal dalam masyarakat dengan menyediakan pusat penjagaan dan hospital harian, kelab sosial, pusat pemulihan dan kaunseling serta khidmat nasihat, skim sukarelawan dan kejururawatan ke rumah.
Kewujudan sukarelawan Homehelp Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai contoh banyak membantu mengatasi kesunyian golongan warga emas di kawasan kejiranan yang melaksanakannya. Di bawah program tersebut, sukarelawan akan membuat lawatan sekurang-kurangnya tiga kali sebulan selain memantau kesihatan dan perkembangan warga emas di kawasan mereka.
Matlamat utama kita adalah untuk memastikan warga tua dapat menjalani hidup berkualiti di hari-hari terakhir usia mereka. Namun apa yang sebaiknya kita lakukan adalah kembali menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni termasuk menghormati dan menjaga orang tua yang telah bersusah-payah membesarkan kita.
Pandanglah wajah dan tenunglah mata mereka yang semakin hari semakin lemah itu. Janganlah diabaikan ibu bapa kerana merekalah yang membolehkan kita lahir di dunia dan menjadi insan yang berguna. Percayalah jika kita melayani ibu bapa kita dengan baik, suatu hari nanti anak-anak kita juga akan memberi layanan yang sama kepada kita.
TAN SRI LEE LAM THYE ialah aktivis sosial.










