Saya tidak terlibat - Barry Goh Ming Choon - Utusan Malaysia

Saya tidak terlibat – Barry Goh Ming Choon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Nov. – Tokoh korporat, Tan Sri Goh Ming Choon menafikan penglibatannya dengan kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya awal pagi semalam.

Jelas beliau yang turut dikenali sebagai Barry, beliau hanya memegang jawatan Pengarah Bukan Eksekutif MCT Berhad dan langsung tidak terlibat dengan pengurusan dan operasi harian MCT Berhad atau One City Development Sdn. Bhd. (One City).

“Saya mendapat tahu terdapat gambar yang mengaitkan saya dengan One City dan lokasi Kuil Sri Maha Mariamman ditempatkan telah disebarkan di media sosial.

“Saya menafikan sebarang penglibatan saya dengan kejadian (rusuhan) yang berlaku baru-baru ini. Saya bukan pengarah One City, pemilik tanah itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

One City merupakan salah satu syarikat pemaju hartanah yang dimiliki MCT Berhad.

Hari ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan, siasatan pihak polis mendapati peguam kepada syarikat pemaju One City telah mengupah sekumpulan lelaki untuk menceroboh dan mengawal kawasan kuil tempat berlaku rusuhan tersebut.

Kata beliau, berdasarkan siasatan polis, sejumlah RM150,000 telah diserahkan kepada ketua kumpulan itu untuk melakukan kerja menceroboh, mengambil alih dan mengawal kuil.

Dalam pada itu, Ming Choon turut menyatakan kekesalannya atas perkara yang terjadi dan meminta semua pihak supaya bertenang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN