‘Saya tidak takut dipanggil polis’ - Utusan Malaysia

‘Saya tidak takut dipanggil polis’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 29 Nov. – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad sedia dipanggil polis setelah Pakatan Harapan (PH) Perak membuat laporan polis berhubung dakwaan beliau wujud gerakan mahu menggulingkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurutnya, beliau tidak takut malah sedia memberi kete­rangan kepada polis kerana ada bukti kukuh mengenai ge­rakan ahli Exco kerajaan negeri yang cuba menjatuhkan Menteri Besar.

Begitupun, Saarani mengingatkan Ketua Sekretariat PH Perak, V. Sivakumar yang membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur semalam harus sedia menanggung risiko.

“Apabila dia buat laporan polis, jangan terkejut kerana pada akhirnya polis mendapati apa yang saya sebutkan itu terkena pada seorang daripada orang dia (PH). Sudah tentu polis akan ambil tindakan, dia (ahli Exco yang berkenaan) akan dipanggil, dia kena mengakulah dia buat atau tak buat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Saarani mengingatkan Pakatan Harapan, beliau tidak akan berhenti bercakap mengenai perkara itu walaupun laporan polis telah dibuat.

Menurutnya, perkara itu bukan isu UMNO kerana ia adalah masalah pemimpin PH yang berantakan sesama sendiri.

“Jangan anggap apabila laporan polis dibuat dia nak mengugut saya dan rakan-rakan pembangkang supaya kami berhenti menimbulkan hal ini. Kita tidak takut sebab yang kita sebut berasaskan kepada fakta dan peristiwa-peristiwa benar,” katanya.

Sementara itu, Saarani men­dakwa ahli Exco kerajaan ne­geri yang terlibat dalam gerakan menjatuhkan Menteri Besar tidak serik sebaliknya mahu meneruskan usahanya.

Saarani berkata, sehingga semalam ahli Exco berkenaan masih lagi berani cuba memujuk wakil rakyat UMNO dengan tujuan menyokong undi tidak percaya terhadap Menteri Besar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN