‘Saya sudah layak 14 kali’ - Utusan Malaysia

‘Saya sudah layak 14 kali’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER 28 Nov. – Jose Mourinho meraikan jaringan dramatik Marouane Fellaini dengan cara ‘gila’ apabila menendang serta menghempas bekas botol minuman, sebelum melaungkan mesej ‘saya sudah layak 14 kali’.

Gol Fellaini seminit memasuki waktu kecederaan dan kecekapan penjaga gol, David de Gea membantu United menang 1-0 ke atas kelab kerdil Switzerland, Young Boys 1-0 hari ini, sekali gus melangkah ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.

Pengurus kelahiran Portugal itu kelihatan resah sepanjang permainan dengan menggeleng kepala dan beberapa kali mengangkat tangan, terutama ketika Marcus Rashford terlepas peluang keemasan untuk meledak gol lebih awal.

Ketika ditanya mengapa dia menghempas bekas minuman, Mourinho membalas: “Saya kecewa sebelum itu. Bukan kerana tidak gembira tetapi kecewa kami gagal menjaringkan gol”.

Terkenal dengan sikap sinis, Mourinho turut memerli pengkritiknya dengan berkata: “Mesej kepada ‘pecinta’ saya. Saya sudah beraksi dalam 14 Liga Juara-Juara dan sudah layak 14 kali.

“Dalam dua tahun saya tidak beraksi pada Liga Juara-Juara, saya menjuarai Liga Europa, dua kali”.

Mourinho turut menghambur pujian terhadap De Gea dengan menyifatkan bintang Sepanyol itu sebagai penjaga gol terbaik dunia dan akan melakukan apa sahaja bagi mengekalkannya di Old Trafford.

“Dia (De Gea) adalah penjaga gol terbaik dunia. Matlamat kami adalah memiliki penjaga gol terbaik, jadi kami perlu mengekalkannya.

“Saya tahu dia ingin kekal. Ejennya (Jorge Mendes) pasti gembira untuk memenuhi permintaan pemain,” katanya merujuk spekulasi yang mengaitkan De Gea dengan perpindahan ke Paris Saint-Germain (PSG) di Perancis.

United menduduki tangga kedua Kumpulan H dengan 10 mata, dua mata di belakang pendahulu, Juventus. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN