KUALA LUMPUR 29 Nov. – Setiausaha Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman, VK Regu akur dengan keputusan siasatan polis yang mendapati anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, cedera dalam insiden rusuhan di kuil berkenaan, pagi semalam adalah disebabkan dipukul dan bukan dilanggar seperti didakwanya.
Menurutnya, dia menerima keputusan siasatan pihak polis dan enggan memanjangkan isu tersebut.
“Berhubung kenyataan anggota bomba itu dilanggar adalah maklumat yang saya terima dan saya serahkan siasatan kepada pihak polis.
“Bagaimanapun, jika polis mendapati anggota berkenaan dipukul, itu mungkin betul dan saya terima keputusan tersebut,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










