KUALA LUMPUR – Bekas ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, B. Sathianathan sah dilantik sebagai pengendali baharu skuad Liga Super Selangor, musim depan.
Bekas jurulatih pasukan Felda United itu mengakui teruja dapat melatih salah sebuah pasukan hebat penuh dengan tradisi kejuaraan termasuk menjadi pasukan terawal muncul juara Piala Malaya yang kini dikenali sebagai Piala Malaysia.
“Saya berjanji akan memberi yang terbaik dan cuba sedaya upaya merangkul salah satu trofi bagi memberi keceriaan kepada penyokong Gergasi Merah,” katanya dalam temu ramah eksklusif bersama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang disiarkan secara langsung di laman Facebook FAS, hari ini.
Sathianathan mengakui keputusan melatih Selangor dibuat setelah tertarik dengan pelan strategik yang sedang dilaksanakan Presiden FAS, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mengembalikan semula kegemilangan skuad Gergasi Merah.
Dalam pada itu, jurulatih berusia 60 tahun itu tidak menolak kemungkinan untuk mendapatkan khidmat beberapa pemain tempatan berkualiti bagi memperkuatkan skuad Gergasi Merah dalam menghadapi saingan Liga Malaysia 2019. – Bernama









