KUALA LUMPUR 23 Nov. – Jurulatih Selangor, B. Sathianathan berhasrat membawa masuk empat atau lima muka baharu bagi memantapkan lagi skuad Red Giants untuk mengharungi kempen Liga Malaysia musim depan.
Jelas jurulatih baharu Selangor itu, pemburuannya adalah terarah kepada pemain berkualiti di samping berpengalaman bagi membantu pemain muda Red Giants yang dilihat berpotensi besar untuk lebih menyerlah.
“Sudah tentu saya ingin membawa masuk nama-nama baru ke Selangor. Saya ada tengok beberapa perlawanan Selangor musim ini (2018). Saya tengok ada beberapa pemain muda berbakat.
“Antaranya Amirul Ashraf Ariffin, A. Namathevan, K. Kannan, Sean Selvaraj, Syahmi Safari dan banyak lagi yang telah tunjukkan prestasi baik. Kita akan tambah kekuatan pasukan dengan pemain berkualiti untuk membantu pemain muda ini demi masa depan Selangor.
“Saya harap sangat pemain seperti Amri Yahyah akan menggunakan segala pengalamannya membantu kami berjaya dalam saingan Liga Malaysia 2019,” katanya dalam satu temubual eksklusif di Facebook FA Selangor sebentar tadi.
Selangor mengharungi musim 2018 dengan prestasi tidak konsisten menyaksikan mereka menamatkan Liga Super di kedudukan ke-8 daripada 12, menjadi naib johan Piala FA, selain tersingkir di peringkat kumpulan Piala Malaysia.- UTUSAN ONLINE











