Sasar 2,250 premis makanan terima Bess menjelang 2021 - Utusan Malaysia

Sasar 2,250 premis makanan terima Bess menjelang 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 27 Nov. – Ja­ba­­tan Kesihatan negeri me­nyasarkan sehingga 25 peratus atau 2,250 daripada keseluruhan 9,037 premis makanan berdaftar di negeri ini mene­rima pensijilan Bersih, Selamat dan Sihat (Bess) untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Pengarahnya, Datuk Dr. Wan Mansor Hamzah berkata, pihaknya yakin sasaran tersebut mampu dicapai berdasarkan sambutan atau permohonan yang diterima untuk mendapatkan sijil itu ketika ini.

Beliau berkata, sejak diper­kenalkan pada 2013, sebanyak 557 premis makanan telah menerima pengiktirafan itu secara keseluruhannya.

“Antaranya termasuk kantin sekolah iaitu sebanyak 277 buah, dapur asrama sekolah (23), gerai makan di medan selera (162) dan restoran atau kafeteria hotel serta kafeteria atau kantin fasiliti kerajaan dengan masing-masing sebanyak lima buah.

“Turut menerima pengikti­rafan itu ialah tiga buah res­toran nasi kandar, lapan kantin kilang dan sebuah food truck manakala selebihnya terdiri daripada kedai makan atau restoran lain,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Bess bagi kategori hotel di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini semalam.

Yang hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan (Keselamatan dan Kualiti Makanan) negeri, Ku Nafishah Ku Ariffin.

Pada majlis yang diadakan dengan kerjasama pejabat Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia negeri itu, seba­nyak lima buah hotel diberikan pengiktirafan tersebut iaitu Hotel Royale Chulan, Hotel Seri Malaysia (Kepala Batas), Hotel Grand de Garden, Hotel Jen dan Rainbow Paradise Beach Resort.

Dalam pada itu, Dr. Wan Mansor mengalu-alukan semua premis makanan memohon untuk mendapatkan pensijilan Bess kerana ia diberikan secara percuma selain boleh memberi nilai tambah kepada premis berkenaan.

“Kriteria yang diperlukan juga mudah iaitu pemohon perlu memperoleh markah pemeriksaan premis melebihi 85 peratus selain perlu mendapatkan suntikan antitifoid dan latihan pengendalian makanan,” ujar beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN