Rusuhan: MB Terengganu beri reaksi - Utusan Malaysia

Rusuhan: MB Terengganu beri reaksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 28 Nov. -Insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya yang menyebabkan seorang anggota bomba cedera teruk akibat dipercayai diserang perusuh turut mendapat perhatian Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, hari ini.

Dr. Ahmad Samsuri menyatakan pendiriannya menyokong penuh kenyataan rasmi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkaitan rusuhan itu yang bertajuk `Keharmonian dan ketenteraman awam diutamakan’.

Beliau berkata, meskipun kejadian itu tidak berlaku di Terengganu, ia turut memberi kesan di segi emosi serta psikologi kepada semua rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama.

“Tambah lagi pada zaman digital dan teknologi, setiap perkara boleh disebarkan dengan pantas menerusi media sosial tanpa kita tahu kesahihannya.

“Jadi, saya menyeru semua rakyat Terengganu supaya bertenang dan kekalkan keharmonian yang ada, elakkan buat provokasi serta komentar negatif di dalam media sosial yang boleh menjejaskan ketenteraman,” katanya dalam status Facebooknya hari ini.

Dr. Ahmad Samsuri juga menyeru rakyat agar sentiasa mematuhi arahan pihak keselamatan kerana yakin dengan kecekapan serta kebijaksanaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangani insiden itu.

“Pada kesempatan ini juga saya ingin menyeru semua rakyat Terengganu sama-sama doakan mangsa yang tercedera dalam kejadian itu termasuk anggota Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd. Kassim agar cepat sembuh,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN