Rusuhan Kuil: Polis buka lagi kertas siasatan - Utusan Malaysia

Rusuhan Kuil: Polis buka lagi kertas siasatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Nov.- Polis membuka beberapa kertas siasatan lain berikutan kesalahan yang berlaku susulan kejadian insiden rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya dekat sini, Isnin lalu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kertas siasatan tersebut adalah selain siasatan yang menjurus kepada isu perpindahan kuil sehingga menjadi punca rusuhan dan siasatan ke atas kes pegawai bomba yang diserang.

Tambahnya, antara kesalahan yang sedang disiasat ialah di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api, Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rusuhan bersenjata, Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan iaitu pencerobohan kawasan.

Selain itu, katanya, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 iaitu memiliki senjata berbahaya; Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan khianat dan Seksyen 124 G Kanun Keseksaan iaitu membuat kenyataan yang boleh menimbulkan apa-apa perlanggaran keamanan.

“Pihak polis sedang menjalankan siasatan secara profesional dengan menggunakan kaedah siasatan forensik dan saintifik sepenuhnya. Untuk tujuan ini, satu pasukan khas dari Makmal Forensik Bukit Aman telah ditempatkan di Kontinjen Selangor bagi membantu siasatan.
 
“Pihak polis juga amat mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan. Siasatan juga dibuat ke atas berita-berita tular bagi membantu siasatan kes di samping membuat pengesahan ke atas fakta yang dikemukakan,” katanya ketika memberi penerangan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.-UTUSAN ONLINE.
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN