Rusuhan kuil: Perbalahan berpunca daripada proses pengambilalihan tapak kuil - Utusan Malaysia

Rusuhan kuil: Perbalahan berpunca daripada proses pengambilalihan tapak kuil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim menegaskan ketegangan yang berlaku di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights di sini awal pagi tadi berpunca daripada perbalahan dua kumpulan dalam proses pengambilalihan harta.

Noor Rashid berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi, sekumpulan 50 lelaki Melayu diupah oleh pemaju telah menceroboh masuk ke kuil berkenaan yang dalam proses pemindahan tapak.

“Tuan punya tanah itu sudah mendapat arahan daripada mahkamah untuk mengubah tapaknya. Mungkin dalam proses pengambil alihan ini berlaku pergaduhan apabila kumpulan 50 lelaki ini bertembung dengan kira-kira lapan penghuni lelaki yang menjaga kuil berkenaan.

“Penghuni yang menjaga kuil itu menghubungi rakan-rakan sebelum hampir 200 lelaki India tiba. Kumpulan 50 lelaki itu cuba melarikan diri sebelum berlaku perbalahan dan pergaduhan. Rumusan saya ini bukan perselisihan kaum tetapi masalah semasa pelaksanaan pengambilalihan harta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Negara 2018 peringkat Kontinjen Kelantan, di Hotel Perdana, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.

Pada majlis tersebut kira-kira 380 pegawai dan anggota polis yang bertugas di Kelantan menerima pingat berkenaan.

Noor Rashid berkata, dalam kejadian tersebut seramai tiga lelaki cedera manakala beberapa buah kereta yang dinaiki kumpulan pertama  dibakar kumpulan kedua tersebut.

“Ini merupakan isu sensitif dan polis sudah membuka kertas siasatan selain menasihatkan orang ramai atau pihak tertentu tidak mengambil kesempatan untuk mengapikan sentimen perkauman,” katanya. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN