Rusuhan kuil: KPN minta semua pihak henti keluar kenyataan tidak tepat - Utusan Malaysia

Rusuhan kuil: KPN minta semua pihak henti keluar kenyataan tidak tepat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Semua pihak termasuk ahli politik diminta supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tidak tepat berhubung insiden kekecohan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Selangor agar ia tidak mengeruhkan lagi keadaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kenyataan tidak tepat tersebut bukan sahaja tidak akan membantu meredakan keadaan, malah akan merumitkan proses siasatan.

“Keadaan yang ada ini perlu dikawal. Semua pihak patut tutup mulut agar tidak mengeruhkan lagi keadaan. Mereka mesti mendapatkan maklumat sebenar sebelum membuat sesuatu kenyataan termasuk ahli-ahli politik.

“Jangan tuduh polis sembarangan berdasarkan maklumat tidak sahih dan tidak tepat termasuk mengatakan kita tidak ada di tempat kejadian dan sebagainya. Kenyataan tersebut amat tidak bertanggungjawab sama sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada 252 pegawai kanan dan pegawai rendah polis yang sedang berkhidmat bagi kontinjen Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohamad Fuzi mengharapkan semua pihak termasuk mereka yang tidak berkaitan, memahami usaha berterusan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengawal keadaan kerana ia adalah tanggungjawab bersama.

Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi kini dijalankan bagi mengesan serta memburu mereka yang bertanggungjawab membakar serta memecahkan cermin kereta termasuk insiden yang berlaku awal pagi ini.

Menurut beliau, operasi tersebut terus giat dipertingkat dan pihaknya juga akan membuat penilaian sama ada langkah-langkah selanjutnya yang lebih ketat perlu diambil atau sebaliknya.

“Kita pantau kawasan hampir 24 jam dan semalam, kita tambah kekuatan anggota. Selain daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), kita juga gerakkan Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk perkukuh kawalan keselamatan dengan harapan tiada perkara tidak diingini berlaku.

“Namun dukacita, salah seorang anggota bomba diserang dan keadaan beliau agak serius dan membimbangkan. Ini merupakan satu perkara yang tidak boleh kita terima dan kita akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN