SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari telah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V. Ganabatirau untuk membetulkan kenyataannya berhubung terdapat sekumpulan orang Islam terlibat dalam rusuhan di Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, dekat sini awal pagi tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Sungai Tua itu berkata, kenyataan yang dikeluarkan Ganabatirau itu mungkin mempunyai kesilapan dari segi penggunaan tatabahasa.
“Saya sudah bagi kenyataan, jangan ada pihak keluarkan kenyataan yang mengguris hati sehingga menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan rakyat.
“Hal ini, biar kita serahkan kepercayaan sepenuhnya kepada polis supaya mereka dapat menyiasat motif sebenar mengapa kejadian ini berlaku,” katanya ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.
Ganabatirau yang juga ADUN Kota Kemuning menerusi laman sosial Facebooknya pagi tadi memuatnaik kenyataan kononnya terdapat sekumpulan orang Islam yang terlibat dalam insiden tersebut sebagai cubaan untuk mewujudkan ketidakharmonian dalam kalangan kaum di negara ini.
Beliau bagaimanapun telah mengubah kenyataannya dalam laman sosial miliknya itu selepas mendapat kecaman daripada pelbagai pihak yang menyifatkan kenyataan itu sebagai rasis.
Sementara itu, Setiausaha Pas Selangor, Abdul Halim Omar dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyelar sikap biadap Ganabatirau yang cuba menyemarakan sentimen perkauman melampau dengan melempar tuduhan kumpulan muslim telah menyerang kuil.
“Pas Selangor menggesa satu siasatan terpeinci dijalankan dengan memangggil mereka yang berkepentingan dalam perebutan tapak kuil itu termasuk Ganabathirau bagi membantu siasatan berhubung tuduhan liar, jahat dan merbahaya yang dimuatnaik dalam facebook beliau.
“PAS sama sekali tidak akan berkompromi dalam isu-isu yang melibatkan pencerobohan rumah ibadat orang bukan Islam dan serangan ke atas penganut agama lain atas semangat perkauman yang sempit,”katanya. – K! ONLINE











