KOTA BHARU 26 Nov. – Rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor awal pagi ini merupakan insiden pergaduhan antara wakil pemaju dengan penganut Hindu di situ yang timbul ketika proses pengambilalihan hartanah dan pemindahan kuil berusia 140 tahun itu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, mesej tular serta khabar angin mengaitkan kejadian tersebut dengan isu perselisihan kaum antara orang Melayu dan India adalah tidak benar dan perlu dihentikan segera.

Kata beliau, polis akan mengambil tindakan tegas kepada sesiapa sahaja termasuk ahli politik jika terus menyebarkan maklumat salah kerana perkara itu dikhuatiri boleh mencetuskan ketegangan kaum sekali gus menggugat ketenteraman awam.
“Kejadian ini sudah menjadi isu sensitif dan kita tidak mahu mana-mana pihak mengambil kesempatan untuk menjayakan agenda tersendiri dengan cara menyebarkan berita tidak benar.
“Saya ingatkan semua pihak, jadilah lebih bertanggungjawab, jangan tularkan perkara tidak betul. Polis akan ambil tindakan tegas kerana isu ini boleh mengancam keselamatan dalam negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) 2018 kepada 380 penerima, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi ini, puluhan individu merusuh di kawasan tapak kuil terbabit sebelum tercetus pergaduhan di lokasi berkenaan yang menyaksikan sebanyak 18 kenderaan dilaporkan dibakar.
Sehingga kini, tujuh lelaki berusia dalam lingkungan 30-an ditahan polis berhubung kes tersebut.
Pada 28 September lalu, satu notis pengosongan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengarahkan tapak asal kuil tersebut dikosongkan manakala kuil berusia 140 tahun itu pula dipindahkan ke lokasi lain.
Difahamkan, kerajaan Selangor menyerahkan tanah seluas kira-kira 0.4 hektar yang terletak kira-kira tiga kilometer dari lokasi asal kuil. – UTUSAN ONLINE










