SHAH ALAM – Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V. Ganabatirau sedia memohon maaf jika keadaan itu dapat meredakan ketegangan yang berlaku susulan rusuhan di Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya, dekat sini yang bermula semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, turut meminta semua pihak supaya bertenang dan menyerahkan semua siasatan berkaitan insiden itu kepada pihak berkuasa.
Menurutnya, pelbagai nasihat telah diterima oleh beliau daripada rakan-rakan
(termasuk ADUN Selangor) serta agamawan untuk menarik balik kenyataan serta menukarkan perkataan ‘muslim group’ kepada gangster.
“Kalau permohonan maaf saya dapat tenangkan semua, saya sanggup mohon maaf. Jika itu yang perlu diutamakan saya sanggup, paling penting kita perlu selesaikan perkara ini secara profesional.
“Persoalan saya kenapa golongan itu (gangster upahan) memasuki kawasan kuil awal pagi, apa niat mereka, siapa upah mereka.
“Kalau asyik nak gunakan agama dan perkauman sebagai asas politik, baiklah saya mohon maaf, tapi bila orang-orang ini hendak mintak maaf dan sedarkan diri,”kata ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.
Semalam, Ganabatirau menerusi laman sosial Facebooknya telah memuatnaik kenyataan kononnya terdapat sekumpulan orang Islam yang terlibat dalam insiden tersebut sebagai cubaan untuk mewujudkan ketidakharmonian dalam kalangan kaum di negara ini.
Beliau bagaimanapun telah mengubah kenyataannya dalam laman sosial miliknya itu selepas mendapat kecaman daripada pelbagai pihak yang menyifatkan kenyataan itu sebagai rasis.
Dalam pada itu, Ganabatirau berkata, pihaknya akan mengusulkan satu bentuk bantuan dalam persidangan DUN bagi membantu anggota bomba yang cedera parah akibat rusuhan di kuil tersebut pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi tadi, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd. Kassim, 24, cedera manakala jentera dinaiki rosak teruk dalam kejadian rusuhan di pekarangan Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya dekat sini. – K! ONLINE










