SUBANG JAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor menafikan kenyataan yang mendakwa anggotanya yang cedera, Muhammad Adib, 24, dilanggar oleh jentera bomba.
Susulan dakwaan itu, Pengarahnya, Azmi Osman membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini hari ini.
Azmi memberitahu, kenyataan itu yang dikeluarkan oleh individu tersebut adalah tidak benar dan beliau mahu pihak polis melakukan siasatan.
“Saya sudah bertemu dengan anggota yang berada di lokasi kejadian dan mereka memberitahu hal sebenar.
“Individu yang memberi kenyataan tersebut tidak berada di lokasi kejadian dan hanya bercakap berdasarkan video sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis kira-kira pukul 10 malam tadi.
Beliau memberitahu bahawa individu yang dikatakan Muhammad Adib iaitu Mohd. Hazim tidak dilanggar oleh jentera bomba tersebut seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.
Terdahulu, Setiausaha Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman, VK Ragu mendakwa anggota bomba yang cedera, Muhammad Adib dilanggar ketika jentera bomba berundur daripada operasi pemadaman.
Dakwanya, anggota tersebut berada di belakang jentera bomba dan apabila kenderaan tersebut berundur dengan laju, mangsa tersepit di belakang antara jentera dan van bomba.
Dakwanya lagi, perusuh yang memukul lori tersebut mahu memberitahu terdapat individu di belakang jentera tetapi kenderaan terus berundur dan pihaknya yang menyelamatkan Muhammad Adib sebelum dihantar ke hospital. – K! ONLINE










