PETALING JAYA 27 Nov. – Seramai 16 lelaki termasuk tiga wakil syarikat pemaju yang terlibat dalam insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, kelmarin direman antara dua hingga lima hari.
Perintah reman bermula hari ini sehingga Sabtu ini dikeluarkan oleh Majistret Nor Ariffin Hisham selepas kesemua suspek berusia antara 18 hingga 49 tahun itu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini.
Kesemua suspek itu direman bagi membantu siasatan mengikut Kanun Keseksaan melibatkan Seksyen 435 (khianat dengan api), Seksyen 148 (merusuh), Seksyen 427 (melakukan khianat) dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah).
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi semalam, berlaku kekecohan antara sekumpulan 50 lelaki yang berada dalam pekarangan kuil tersebut dengan sekumpulan lagi lelaki yang berada di luar kuil.
Sebanyak 18 kenderaan termasuk dua motosikal terbakar manakala sebuah kereta peronda polis turut dibaling batu oleh perusuh- UTUSAN ONLINE









