PETALING JAYA – Seramai 16 individu termasuk tiga wakil syarikat pemaju yang dipercayai terlibat dalam insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor semalam direman antara dua hingga hari lima hari di Mahkamah Majisret di sini sebentar tadi.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nor Ariffin Hisham dengan tempoh tahanan reman bermula hari ini sehingga Sabtu ini.
Nor Ariffin membenarkan tempoh tahanan reman terhadap kesemua suspek berusia antara 18 hingga 49 tahun bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 435 (khianat dengan api) , Seksyen 148 (merusuh) Seksyen 427 (melakukan khianat dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah) Kanun Keseksaan.
Sementara itu, di luar mahkamah selepas tamat prosiding reman, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili tiga daripada suspek yang juga pekerja syarikat pemaju itu berkata anak guam mereka direman antara dua hingga empat hari bagi membantu siasatan.
Mohamed Haniff berkata ketiga-tiga suspek telah memberikan kerjasama yang baik sejak September lalu dan sepatutnya memberikan sidang media berhubung insiden berkenaan tengah hari ini.
Semalam Kosmo! melaporkan sekurang- kurangnya 18 buah kereta, dua motosikal dan sebuah rumah kongsi dibakar dalam insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman melibatkan sekumpulan lelaki yang diupah pemaju dengan penjaga kuil ketika proses pengambilan tanah dilakukan awal pagi semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, insiden kira-kira pukul 2.30 pagi itu turut menyebabkan tujuh lelaki cedera termasuk seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya patah tangan.
Katanya, susulan kejadian itu, pihaknya telah menahan 17 individu selain merampas dua bilah pedang, dua batang kayu dan dua batang paip getah.
Jumlah kenderaan yang terbakar adalah 18 buah manakala tujuh individu yang cedera masing-masing tiga lelaki Melayu, tiga lelaki India dan seorang anggota polis. – K! ONLINE










